Tuesday, October 28, 2008

Kunjungan Prihatin Ke Taman Sunway Kayangan



Sunway Kayangan U9 - Empat orang wakil AJK MPP Zon 20 termasuk Pengerusi En. Sayuti telah berkunjung ke rumah Puan Norlidah bt. Ramlee yang baru kematian suami. Kunjungan prihatin pada 21.10.2008 pada jam 9.30 malam ini adalah bertujuan cuba membantu dan mendengar permasalahan beliau. Kes in mendapat perhatian yang istimewa kerana arwah suaminya iaitu Allahyarham Faiz Ben See adalah seorang Cina Muslim. Puan Norlidah seorang surirumah sepenuh masa yang kini sedang mengandung anak ke empat tinggal menyewa bersama tiga orang anaknya. Puteri Farra Edylena See 7 tahun, Hakim Henry See 6 tahun dan Puteri Dayana See 1 tahun setengah. Turut hadir wakil AJK Surau Taman Sunway Kayangan dan dua orang wakil ABIM.

Monday, October 27, 2008

Masalah Denggi Di Seksyen U10



Keadaan Kes Denggi di Syeksyen U10 Shah Alam amat membimbangkan. Kawasan ini antara 2 `locality' yang telah diistiharkan sebagai kawasan ZON MERAH. Dengan ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Petaling dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat U10 dan usahasama MPP Zon 20 telah berganding bahu cuba mengatasi masalah tersebut. Boleh dikatakan hampir setiap hari terdapat kes yang baru. Setakat berita ini di tulis belum ada kes yang melibatkan kematian. Jadi dengan keadaan kes yang amat membimbangkan di kawasan Seksyen U10 maka Kementerian Kesihatan Daerah Petaling telah menjadikan Seksyen U10 adalah KAWASAN ANGKAT. Program ini akan dilaksanakan selama enam bulan dari bulan Ogos 2008 yang lepas. Seorang pegawai KKM Daerah Petaling En. Zulkifle b. Abd Hamid dibantu oleh beberapa orang pegawai telah dipertanggungjawabkan di kawasan ini. Satu jawatankuasa bersama dibentuk antara penduduk sekitar taman Seksyen U10 termasuk Seksyen U14 (Kg. Budiman) dan KKM Daerah Petaling. Di Pengerusikan oleh En. Abd Halim b. Ali yang juga Pengerusi Khidmat Masyarakat U10 dan En. Ahmad Reduan b. Abd. Hamid sebagai Timbalan Pengerusi. Mesyuarat rasmi yang pertama diadakan pada 06.09.2008 bertempat di Bilik Mesyuarat Surau Al-Ikhwan Taman Sandaran Permai. Bermula jam 5.15 petang hingga jam 6.45 petang. Beberapa keputusan telah dicapai dan telah dilaksanakan antaranya satu siri ceramah/penerangan oleh pegawai KKM Daerah Petaling En. Zulkifle. Ceramah/penerangan di Surau Taman Puncak Perdana pada 14.09.2008 selepas Solat Subuh dan Surau Al-Ikhwan Taman Sandaran Permai pada 17.09.2008 selepas empat rakaat Solat Terawikh. Perkembangan lanjut akan menyusul.....

Monday, October 20, 2008

Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri

Pada tanggal 21.09.2008 MPP ZON 20 dengan kerjasama Surau Al-Ikhwan dan Pusat Khidmat Masyarakat Seksyen U10 Shah Alam telah mengadakan majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan Hari Raya. Penerima-penerima sumbangan terdiri dari semua kaum meliputi beberapa katogeri iaitu golongan orang-orang tua, kurang upaya, muaalaf, ibu-ibu tunggal dan pelajar cemerlang UPSR 2007.
Meraka menerima barangan keperluan harian, makanan, duit raya dan sijil bagi pelajar cemerlang. Seramai lebih 30 penerima telah berjaya disampaikan. Sumbangan disampaikan oleh YB. Hj. Khalid b. Abd Samad, Ahli Parliment Shah Alam. Dibantu oleh Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat U10 En Abd Halim b. Ali. Majlis dipengerusikan oleh En. Hj. Ahmad Redzuan b. Abd Hamid, Setiausaha Kehormat MPP Zon 20 Shah Alam.

Penyerahan Watikah Pelantikan


Upacara Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Jawatan kuasa MPP Zon 20 telah diadakan pada 28 Ogos 2008 bertempat di Dewan Banquet Wisma MBSA Shah Alam.

Majlis Dialog Bersama Wakil-Wakil Rakyat Shah Alam.

Satu majlis dailog bersama Wakil-wakil Rakyat Parliment dan DUN Kota Anggerik telah berjaya diadakan sekitar bulan Jun 2008. Ahli Parliment YB. Hj. Khalid Samad di wakili oleh YDP PAS (II) Shah Alam. ADUN Kota Anggerik YB. Hj. Yaakob b. Sapari. Wakil Datuk Bandar Shah Alam. Ketua Polis Balai Seksyen 6, Pengerusi Pusat Khidmat Masyarakat U10 dan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman sandaran Permai En. Adnan b. Kadir. Tetamu Khas ADUN Meru YB. Dr. Hj Rani

Alhamdulillah mendapat sambutan yang baik daripada penduduk sekitar. Diadakan di sebelah Surau Al-Ikhwan, Taman Sandaran Permai, Shah Alam. Bertujuan memberi maklumat-maklumat terkini dan mendengar masalah-masalah rakyat yang berbangkit. Majlis dipengerusikan oleh Hj. Ahmad Reduan b. Abd hamid.

Pengenalan



Selamat datang ke blog Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 20 Shah Alam. Terletak dalam Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling yang berada lebih kurang 20 km dari Bandaraya Shah Alam. Zon 20 meliputi dari Seksyen U9 (Sunway Kayangan), Seksyen U10 (Taman Subang Impian, Taman Sunway Alam Suria, Taman Nusa Rhu, Pangsapuri Resak, Taman Puncak Perdana, Taman Sandaran Permai dan UiTM Kampus Puncak Perdana) hingga ke Seksyen U14 (Kampung Budiman).